Rasulullah S.A.W sebelum mengutuskan satu jemaah itu keluar melakukan permusafiran, Baginda akan mengumpulkan mereka dan mendengarkan bacaan Al Quran setiap orang. Pernah satu ketika Baginda bertemu seorang lelaki yang paling muda lalu bertanya,”Adakah kamu menghafaz Al Quran?
”Ya, aku hafaz beberapa surah termasuklah surah Al Baqarah”.
”Kamu hafaz surah Al-Baqarah?
Pemuda itu menjawab,”Ya, aku hafaz surah Al Baqarah”.
Rasulullah S.A.W mengarahkan kepada pemuda tersebut sebagaimana maksudnya,”Pergilah, kamu dilantik menjadi ketua jemaah mereka (pergi bermusafir)”. [ Hadis Hasan ini dikeluarkan oleh at Tirmizi 5/156, Kitab Fadhail Al Quran ]
Berdasarkan hadis ini Imam Thowus berkata : “Sesungguhnya di antara sunnah itu ialah memberikan sanjungan (penghormatan) kepada orang yang berilmu (ulama)” [ Ibnu Abdil Barr, Jami’e Bayan al Ilmi wa Fadhlihi 1/136 ]
Inilah salah satu penghormatan Rasulullah S.A.W kepada seorang yang mempunyai pengetahuan agama, berilmu untuk menjadi ketua bagi kaumnya. Begitupun pakej ilmu dan keagamaan sahaja tidak memadai jika ia tidak disertai dengan penghayatan.
Umar al Khattab, tokoh Islam pertama yang mengembalikan Kota Al Quds kepada umat Islam telah menunjukkan kepada kita kriteria seorang ketua yang layak menguruskan hal ehwal negara. Mereka itu bukan sekadar yang tinggi ilmunya, disegani ketokohannya tetapi mestilah seorang yang memiliki karakter seorang yang bertaqwa.
“Tunjukkanlah kepadaku seorang lelaki yang patut dilantik menjadi ketua”. Kata Umar.
Kemudian seorang lelaki bertanya kepada Umar,”Siapakah yang kamu kehendaki?
Umar menjawab,“Aku mahukan seorang lelaki apabila dia tidak menjadi ketua di tengah-tengah kaumnya, dia seolah-olah adalah ketua bagi mereka. Sebaliknya jika dia menjadi ketua, dia seolah-olah orang biasa di kalangan kaumnya (kerana sifat taqwa yang ada padanya)”. [ Dr.Raghib As Sarjani, Idarah Umar Ibn Khattab ]
.
“Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah melakukan mesyuarat) maka hendaklah bertawakal kepada Allah” [ Surah Al Imran:159 ]
Namun hari ini, berapa ramai di kelibat-kelibat ahli gerakan yang tidak melalui proses musyawarah dalam memutuskan pemilihan seseorang pimpinan. Lebih malang lagi, kaedah semberono tersebut diperdagangkan dalam ruang publik ( seperti facebook, twitter dan sebagainya).
Lihatlah bagaimana Para Sahabat menggunakan platform paling beradab untuk menegur dan menasihati pemimpin. Abu Ubaidah bin Al Jarrah dan Muaz bin Jabal pernah menulis surat kepada Umar al Khattab, dan hal itu tidakpun diwartakan kepada khalayak sehinggalah Abu Nuaim menulisnya di dalam Al Hilyah sebagai renungan :
“Dari Abi Ubaidah bin Al Jarrah dan Muaz bin Jabal, kepada Umar bin Al Khattab. Semoga kesejahteraan dilimpahkan kepadamu. Kami menasihatkan kepadamu sehubungan dengan bebanan tugasmu yang penting di mana kini engkau menjadi pemimpin umat ini, yang pelbagai warna kulitnya. Di hadapanmu akan duduk orang yang mulia dan yang hina, musuh dan teman dan masing-masing harus engkau perlakukan secara adil. Lihatlah kedudukanmu dalam hal ini wahai Umar. Kami ingin mengingatkan kepadamu tentang satu hari yang wajib diimani, hari di mana wajah-wajah manusia diheret ke hadapan Sang Penguasa yang memaksa mereka dengan kerajaan dan kekuasaan-Nya. Kami juga ingin memberitahu perangai jahat umat ini akan muncul pada akhir zaman, mereka akan menjadi saudara di luar padahal mereka adalah musuh dalam selimut. Sesungguhnya tulisan kami adalah nasihat kepadamu bukan tujuan hebahan kepada yang lain…” [ Lihat Abu Nuaim di dalam Al Hilyah, 1:237 ]
Kepimpinan bukanlah satu jawatan untuk mencari pengaruh, sokongan atau publisiti. Namun apa yang mesti diinsafi jawatan kepimpinan itu hanya layak diserahkan kepada orang yang berhak dan memiliki sifat rabbani.
Dalam kes yang lain, kepimpinan itu wajib diambil atau dipinta oleh seorang berilmu dan mampu menyelamatkan masyarakat daripada kehancuran. Sebuah hadis ada menyebut,“Apabila muncul perkara-perkara bida’ah (kesesatan dan penyelewengan) di kalangan umatku, maka wajib ke atas orang yang berilmu menyebarkan ilmunya (menegakkan kebenaran) maka jika dia tidak melakukannya, baginya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia” [ Musnad Rabi’e bin Habib – sanad hadis ini dinyatakan dhaif ].
Hal ini dikukuhkan lagi dengan potongan ayat yang menceritakan permohonan Nabi Yusuf untuk menjadi ketua perbendaharaan negara berdasarkan akhlaknya seorang yang menjaga diri (taqwa) dan memiliki ilmu pengetahuan.
“Yusuf berkata, jadikanlah aku pengurus perbendaharaan (hasil bumi Mesir). Sesungguhnya aku sedia menjaga dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”. [ Surah Yusuf:55 ]
Daripada ayat ini terdapat pandangan yang melihat bahawa maruah umat Islam hanya dapat dikembalikan apabila proses pemurnian siasah dimulai dengan tertib iaitu memilih pemimpin yang soleh, pemimpin yang memiliki kewibawaan ulama dan mereka itu melalui perjalanan tarbiyyah yang panjang sebagaimana Para Nabi melalui prosesnya.
Moga-moga satu hari nanti umat Islam dikurniakan pemimpin semulia Baginda S.A.W, bukannya pemimpin yang sanggup menjadi bidak kepada identiti perkauman, tetapi pemimpin yang ikhlas membangunkan idealisme Islami
No comments:
Post a Comment