Pages

Saturday, June 11, 2011

Salam Kepada MUHRIM



Soalan :


Apakah hukum memberi salam kepada bukan muhrim..... adakah makruh atau haram atau bergantung kepada keadaan?


Md Aminuddin AB




Jawapan


Berikut ini adalah sedutan secara bebas dari Al-Nawawi di dalam al-Azkar . Katanya, memberi salam dan menjawab salam antara lelaki dan perempuan adalah seperti hukum memberi dan menjawab salam sesama lelaki. Sunat bagi seorang
perempuan memberi salam kepada lelaki, dan begitulah sebaliknya. Dan, salam itu wajib dijawab. Itu jika perempuan itu adalah mahramnya. Bagaimana pula jika perempuan berkenaan bukan mahramnya?


Apabila perempuan itu bukan mahramnya dan dia merupakan seorang yang cantik jelita yang dikhuatiri akan menimbulkan fitnah, maka seorang lelaki tidak boleh memberi salam kepadanya.


Jika lelaki itu memberi salam, perempuan berkenaan tidak boleh menjawabnya. Begitu juga dengan perempuan itu, dia tidak boleh memberi salam. Jika perempuan itu memberi salam juga, maka makruh hukumnya menjawab salam itu.


Dari Atha’ al-Khurasani, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada bagi wanita itu salam, dan tiada ke atasnya salam.” (HR Ibnul Jauzi) Ia bermaksud, perempuan tidak boleh memberi dan menerima salam kepada atau dari lelaki yang bukan mahramnya.


Dan, jika perempuan itu tua dan tidak mungkin akan menimbulkan fitnah, maka sudah tentu dia boleh memberi salam kepada seorang lelaki. Dan salam itu wajib dijawab oleh lelaki berkenaan. Di atas, adalah hukum memberi salam antara lelaki dan perempuan – seorang dengan seorang.


Bagaimana pula jika memberi salam kepada sekumpulan perempuan yang bukan mahram? Atau perempuan memberi salam kepada sekumpulan lelaki yang bukan mahram?


Al-Nawawi mengatakan bahawa jika perempuan-perempuan berkumpul dalam satu kelompok, maka orang lelaki boleh memberi salam kepada mereka. Atau orang-orang lelaki dalam suatu kelompok memberi salam kepada seorang perempuan, maka hal itu dibolehkan – Apabila tidak ditakutkan timbulnya fitnah bagi kedua belah pihak.


Mengenai perkara ini terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan lainnya, dari Asma’ binti Yazid r.a. yang berkata:“Rasulullah s.a.w. lalu di depan sekelompok perempuan yang sedang duduk, maka baginda memberi salam kepada kami.”


Bukhari pula meriwayatkan dari Sahl bin Saad r.a., katanya: “Ada seorang perempuan tua yang sedang memasak dan menggiling biji-biji sya’ir (gandum). Apabila kami selesai sembahyang Jumaat, pergilah kami memberi salam kepadanya, lalu dia menghidangkan makanan untuk kami.”


Begitulah sebahagian pendapat al-Nawawi di dalam al-Azkar mengenai hukum salam kepada perempuan.





Kesimpulan


1. Memberi salam kepada perempuan mahram adalah seperti hukum memberi salam kepada sesama lelaki.


2. Tidak boleh memberi salam atau menjawab salam perempuan yang dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.


3. Dibenarkan memberi salam kepada perempuan yang dikhuatiri tidak akan menimbulkan fitnah. Dan wajib menjawab salam dari perempuan berkenaan.


4. Dibenarkan memberi salam kepada kelompok wanita. Atau kelompok lelaki memberi salam kepada seorang wanita.


Sekian. Wallahu a’lam.





Rujukan


1. Al-Quran
2. Tafsir al-Qurthubi
3. Sahih Bukhari
4. Al-Azkar
5. Ahsanul Kalam

No comments:

Post a Comment